Wednesday, December 22, 2010

Kahwin semasa umur 100 tahun

KANGAR: “Dulu ketika tok melangsungkan perkahwinan, belanja (wang hantaran) hanya RM50 manakala mas kawin cuma RM10...tidak seperti sekarang mencecah ribuan ringgit,” kata Munah Jusoh yang menyambut ulang tahun kelahiran ke-100, kelmarin.

Menurutnya, dia berkahwin dengan Daud Jusoh yang meninggal dunia pada 1990 ketika usianya mencecah 16 tahun dan sambutan ketika itu meriah disertai keseluruhan penduduk kampung Padang Lati, dekat sini, pada 1926.

“Orang dulu berkahwin pada usia muda dan sebelum Daud, tok pernah berkahwin dengan seorang jejaka sekampung, tetapi bercerai dan perkahwinan dengan Daud kekal hingga akhir hayat dia.

“Tok tidak pernah berkahwin lain selepas Daud meninggal dunia kira-kira 20 tahun lalu,” katanya yang bersyukur dianugerahkan penglihatan baik dan mampu membaca al-Quran ketika ditemui di rumahnya di Kampung Lubuk Besar, Datuk Kayaman, dekat sini, semalam.

Bagaimanapun, Munah yang dilahirkan pada 20 Disember 1910 berkata, dia tidak dikurniakan cahaya mata hasil perkahwinannya dan mengambil anak saudaranya, Ismail Daud sebagai anak angkat.

Katanya, pada usia seabad, dia mampu mengayuh basikal bersendirian sekitar kampung, tetapi demi keselamatan, keluarga menghalangnya meneruskan rutin harian itu.

Munah juga terkenal sebagai mak andam di Kampung Padang Lati dan menjelajah ke serata tempat di utara untuk mengiringi pengantin dan pernah menunaikan ibadat haji tiga kali termasuk menerusi kapal laut pada 1970-an.

“Tok pernah mengalami keperitan hidup ketika zaman pemerintahan Jepun termasuk hanya menjamah ubi kayu rebus dan memakai pakaian diperbuat daripada kain guni. Ubi kayu menjadi makanan utama ketika itu,” katanya.

Ditanya rahsia kesihatannya yang sentiasa sihat: “Tok cuma mengamalkan bacaan ayat suci al-Quran selepas solat serta tidak boleh duduk diam di rumah, sebaliknya melakukan pelbagai kerja harian,” katanya.

Sempena seabad usia Munah, keluarganya mengadakan majlis kesyukuran memotong pulut kuning berbentuk 100 tahun sempena ulang tahunnya ke-100 yang dihadiri lebih 1,000 tetamu termasuk penduduk kampung dan pemimpin negeri.

Hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu dan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Sabry Ahmad.


credit to mymetroonline

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...